Sunday 3 July 2016

Living A Life Diary: Mencari Jodoh atau Dijodohkan?

Assalammualaikum dan Hi,

Post hari ini mengenai jodoh; tidak kira sama ada bakal suami atau bakal isteri. Perancangan manakah yang lebih baik, dijodohkan atau mencari jodoh sendiri? Semua ini berbalik kepada pandangan masing-masing. Ada yang berpendapat, pasangan yang dijodohkan itu lebih baik kerana pilihan orang tua itu lebih tepat kerana 'instinct' mereka sebagai ibu bapa kita. Tetapi ada pandangan lain mengatakan, mencari jodoh sendiri itu lebih baik sebab yang nak kahwin itu kita jadi adalah lebih wajar kita mengenali pasangan kita dahulu sebelum melangkah ke alam perkahwinan.

Sejujurnya aku sendiri tidak pasti tetapi aku ada cerita sesuatu dalam post kali ini. Bakal jodoh aku. Aku gunakan perkataan bakal sebab ianya sesuatu yang tidak pasti dan belum disahkan. Membesar dalam keluarga yang strict, aku kurang bergaul dengan kaum adam melainkan dengan sepupu-sepapat aku yang majoritinya adalah lelaki. Masa aku kecil, aku memang lasak dan tomboy. Tetapi semua tu berubah 360 darjah selepas aku baligh aka period. Mama mula control pergaulan aku dan itu membuatkan aku segan dengan kaum adam. Aku dimasukkan ke single-gender school dan ianya membentuk perwatakan aku hari ini; feminism. Masuk ke alam universiti, aku tidak menghalang mana-mana lelaki yang mahu dekat cuma aku tidak memberi respon jadinya semua perhubungan aku gagal. Mama pesan supaya aku habiskan degree ni dahulu, sebelum nak fikir cari pasangan hidup dan sebab ini jugalah niat aku untuk mencari pasangan telah terkubur walaupun aku telah memegang dua degree scrolls.  Sunyi tu memang la sunyi nak-nak masa tengah stress atau sakit. Takde si dia yang prihatin atau ambil berat pasal diri ini. Tapi aku diamkan saja. Sehinggalah mama bertemu dengan sepasang suami isteri ini di Kursus Bakal Pesara UiTM di Langkawi. 

Mereka tinggal sekampung dengan nenek dan nenek memang kenal dengan keluarga mereka ini. Oleh sebab sikap sambil lewa, aku hanya tahu panggilan untuk si isteri; Ummi. Suami beliau adalah pesara tentera dan pesara UiTM. Ada 2 anak gadis 1 teruna. Salah satu anak gadis meraka adalah senior aku di Universiti dan anak teruna mereka adalah seorang doktor muda yang baru memulakan housemanship di Hospital P, nama nya H. Sudah 2 tahun berturut-turut akan beraya ke rumah mereka. Masa kali pertama datang tu, mereka terus pelawa ke meja makan dengan pelbagai juadah dihidangkan, Ummi dan Abi serta anak teruna mereka turut serta. Oleh kerana perwatakan ummi yang happy-go-lucky  dan banyak mulut, aku jadi selesa dengan dengan keluarga mereka. Bila dah selesa, aku pun mula pok pek pok pek bercerita dari kuih tart nenas hingga ke biskut lidah kucing super expensive tu. Masa tu, H tengah bercuti semester akhir medical school di Kaherah dan aku pula semester 4 Political Science School di UiTM. Sampai ke hari ni, aku tak mampu nak pandang muka dia sebab aku rasa aku ni kecil sangat dan bukan muslimah sangat; pakai tudung pun masih nampak jambul. Selepas bertemuan itu, mama dan baba sudah tepaut dengan keramahan keluarga mereka dan mula berkias-kias mahu menjodohkan antara aku dan H. Tetapi aku hanya bersikap sambil lewa sebab itu hanya angan mereka sahaja, tetapi jauh disudut hati aku tetap ada rasa gembira.

Raya kedua, tahun lepas kami bertandang lagi ke rumah ummi. Kali ini H sudah betul-betul pulang ke Malaysia dan aku sudah habis final exam semester akhir. Masa kami datang, H baru sahaja pulang beraya bersama kawan-kawan sekampung dia dan H ada bakar Lasagna untuk dijamukan pada kawan-kawannya. Menurut cerita ummi, majority kawan-kawan H teruja dengan humble comfort food tu sebab mereka mungkin tidak pernah cuba sebelum ni. Kalau korang nak tahu, Lasagna adalah salah satu makan kegemaran aku dan sebulan sekali mesti aku akan bakar 2-3 loyang. Aku nak sangat cuba lasagna yang H buat tapi disebabkan terlampau segan, aku pendamkan saja. Padahal masa tu, parents aku dah tolak-tolak tangan aku untuk kaup lasagna tu. Aku takut lepas makan lasagna dia, aku jatuh hati pulak; dari perut naik ke hati hahahaha. Dalam kereta, semua gelakkan aku bila aku guna alasan tu untuk tidak tergoda dengan lasagna H. Lawak bodoh.

Masa abang aku kahwin, Ummi, Abi dan H ada datang. Dia nampak lain benar. Pakaian nya kemas, badannya susut dan bertambah kacak tapi aku tetap tak mampu nak pandang muka dia. Mama dah pesan supaya aku mengenakan pakaian yang kemas sikit sebab nak layan kawan-kawan yang bertandang especially ummi sekeluarga. Tapi aku entah kenapa agak malas untuk melaram sebab aku lebih suka jadi floor manager dari melayan tetamu VIP. Maka, nampak la antara dua darjatnya antara aku dan H. Aku ada la borak-borak sikit dengan ummi yang selebihnya mama dan baba. Aku sibuk mengangkat pinggan dan cawan sebab penanggah caterer langsung tak boleh harap. Bila ummi sekeluarga sudah berangkat pulang, mama berkongsi cerita dengan makcik-makcik aku yang lain bahawasanya H itulah gerangan yang mahu dijodohkan dengan aku. Semua pakat mengusik aku, tetapi aku tahu itu hanyalah angan semata. Kalau bertepuk sebelah tangan manakan berbunyi. Aku tidak mengharapkan lebih, andai ada jodoh antara kami, aku akan cuba perbaiki dan persiapkan mental dan fizikal tetapi sebelum semua itu terjadi, biarlah mereka terus bersama angan semata. Banyak lagi impian yang aku dan dia mahu kejar. Gerbang perkahwinan masih kabur pada kaca mata kami dan aku masih terlalu jauh untuk menyaingi dia.

1 comment:

  1. 888Casino Las Vegas Hotel & Casino - MapYRO
    Find addresses, see 의왕 출장샵 photos and read real-time driving directions to 888Casino Las Vegas Hotel 울산광역 출장샵 & 보령 출장샵 Casino 하남 출장샵 in Las Vegas, NV. 충청북도 출장마사지

    ReplyDelete